WHERE ANOTHER MEDICINE LEAVES OFF..HOMEOPATHY BEGINS..

WHERE ANOTHER MEDICINE LEAVES OFF..HOMEOPATHY BEGINS..












Semuanya bermula daripada masalah dihadapi salah seorang teman di sini yang sukar ke tandas sehingga dinasihatkan doktor untuk minum banyak air masak, membuatkan kami semua ketawa.

Namun dalam ketawa, kami jadikan ia satu pengajaran. Selama ini memang sudah diketahui pentingnya mengambil air secukupnya untuk kekal cantik, cergas dan sihat, tetapi nasihat umum itu sering dipandang ringan.



Malah tidak terhitung jumlah hari badan dibiarkan ‘menderita’ dalam diam kerana kita hanya minum tiga atau empat gelas air sehari apatah lagi dalam cuaca panas seperti negara kita.

Ramai tidak sedar me­ngantuk selepas makan tengah hari ialah petanda penting badan kita kekurangan air. 


Air diperlukan untuk proses pencernaan dan metabolisme makanan. Untuk menjalankan proses ini, badan mengambil air daripada sel badan (termasuk darah).

Oleh kerana air membabitkan dua komponen iaitu dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen (H2O), apabila ia digunakan untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan.

Ini sebabnya kita berasa mengantuk, letih dan sukar menumpukan perhatian kepada kerja selepas makan.

Air turut menjadi bahan asas paling utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan yang membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel di seluruh badan.

Kekurangan air menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh badan.

Badan kita terdiri daripada 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan jadi lebih segar dan kuat.

Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan peluang mendapat jangkitan.

Seorang jurulatih gimnasium pernah memberitahu penulis, jika mahu mengurangkan berat badan minumlah banyak air masak.

Air ialah elemen penting untuk membantu meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak. Untuk kekal sihat dan bertenaga, setiap orang perlu minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air kosong sehari.

Katanya, ramai orang keliru antara isyarat `lapar’ atau `dahaga’. Kekeliruan ini menyebabkan ada orang mencari makanan setiap kali salah satu daripada isyarat ini diterima otak.

Ini membuatkan berat badan bertambah tanpa disedari kerana apa yang diperlukan badan ialah air, bukan makanan. Masalah ini lebih ketara dalam kalangan orang tua kerana deria rasa mereka menjadi kurang sensitif.

Tidak hairan jika ramai orang tua mengalami masalah kekurangan air dalam badan.

Saranannya, langkah terbaik untuk diambil bagi individu yang alami kekeliruan ini ialah minum air setiap kali terasa lapar.

Kajian menunjukkan segelas air kosong boleh menghilangkan kelaparan di tengah malam dan berita baiknya, air tidak mengandungi kalori. Jadi isu pengumpulan tenaga berlebihan yang akhirnya disimpan sebagai lemak tidak timbul.

Untuk mendapat kesan penurunan berat badan yang lebih cepat (di samping bersenam dan mengawal pengambilan makanan) ialah minum setiap kali sebelum makan.

Ini kerana air boleh membuatkan kita terasa cepat kenyang dan ia secara tidak langsung dapat mengelak kita makan banyak.

Sekali lagi diingatkan, air yang dimaksudkan di sini ialah air masak sama ada suam atau sejuk. Minuman manis mengandungi kalori kosong daripada gula iaitu kalori yang tidak diperlukan badan.

Badan kita tidak memerlukan gula tambahan kerana karbohidrat daripada makanan akan diproses dan ditukarkan ke bentuk gula ringkas supaya boleh digunakan sebagai tenaga.

Jadi walaupun tanpa makanan atau minuman manis, badan kita sudah mendapat gula secukupnya.

Kembung air

Pakar berselisih pendapat mengenai jumlah air yang perlu diambil setiap hari, bagaimanapun kebanyakannya menyarankan kita perlu minum air enam hingga lapan gelas.

Ada juga menyarankan kita minum sehingga dua liter sehari yang kelihatan sangat banyak namun apabila dihitung jumlahnya lebih kurang sama dengan enam atau lapan gelas.

Ada yang bimbang jika minum sebanyak itu, tidakkah akan berlaku kesan sampingan? Satu-satunya kesan sampingan yang akan kita alami akibat terlalu banyak air ialah kerap berulang ke tandas, namun ia dianggap perkara baik.

Secara umumnya kita tidak akan mengalami masalah `terlalu banyak air’ kerana badan kita sangat bijak dan bertindak secara automatik untuk mengeluarkan air berlebihan.

Inilah juga nasihat yang diberikan doktor kepada pesakit gout, walaupun ramai tidak selesa untuk berulang-alik ke tandas.

Saranan minum air sebanyak dua liter sehari adalah untuk memastikan air kencing pesakit sentiasa dalam keadaan cair. Kerap berulang ke tandas dianggap baik kerana ia menandakan lebih banyak garam dibuang dari badan.

Gout ialah penyakit yang disebabkan pengumpulan asid urik dalam badan. Asid urik yang terbentuk dalam darah adalah hasil pemecahan pelbagai proses kimia. Biasanya darah dibersihkan melalui proses penapisan di dalam buang pinggang dan asid urik kemudian dibuang melalui air kencing.

Air kencing mengandungi pigmen urokrom yang memberinya warna kuning. Warna ini berubah-ubah setiap hari daripada kuning gelap hinggalah kuning cair, bergantung kepada kepekatan air kencing kita.

Air kencing yang gelap biasanya menandakan kita tidak minum cukup air. Badan kita memerlukan air secukupnya setiap hari untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap.

Apabila badan kekurangan air, ia mengekalkan jumlah cecair dalam badan dengan mengurangkan penghasilan air kencing.

Ini sebabnya air kencing menjadi pekat dan berwarna gelap. Sebaliknya jika kita minum banyak air, lebih banyak air kencing dihasilkan dan warnanya menjadi lebih cerah dan cair.

Pengambilan air secukupnya walaupun tidak berasa dahaga boleh membantu menjaga kesihatan buah pinggang - organ penapisan darah yang amat penting.

Pada peringkat awal, anda memang kerap ke tandas, tetapi ia hanya untuk sementara waktu sehingga badan dapat menyesuaikan diri dengan peningkatan jumlah air yang anda minum.

Bagaimanapun, bagi anda yang sudah ada masalah buah pinggang, dapatkan nasihat doktor mengenai jumlah air yang boleh diambil.

Sebaliknya bagi individu yang me­ngalami batu karang atau gout, mereka perlu minum lebih banyak air untuk mengawal penyakit.

Jangan takut untuk minum banyak air kerana kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan risiko 45 peratus kanser usus, kanser payudara (79 peratus) dan kanser pundi kencing (50 peratus).

Air penting untuk melarutkan hasil sampingan metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang.

Air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini dari badan dengan berkesan kerana kekurangan air memaksa buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan organ penting ini.

Air juga diperlukan untuk menjadi pelincir kepada pergerakan sendi dan kajian menunjukkan pengambilan lapan hingga 10 gelas air sehari boleh mengurangkan kesakitan sendi pada 80 peratus pesakit artritis.


Masalah berlebihan air sebenarnya jarang berlaku, tetapi apa yang lebih kerap dialami kebanyakan orang ialah kekurangan air (dehidrasi).

Ramai orang tidak sedar mereka mengalami kekurangan air yang kronik. Antara contoh kekurangan air yang kronik ialah apabila anda hanya pergi tandas satu atau dua kali sehari, berasa dahaga, kulit menjadi kering dan me­ngalami masalah retensi atau tegasan air.

Retensi air yang menyebabkan perut terasa kembung atau kaki nampak bengkak adalah tanda kekurangan air, bukan sebab terlalu banyak air. Kita berasa kembung kerana badan cuba mengekalkan keseimbangan garam galian.

Cara untuk atasi masalah ini adalah dengan minum air secukupnya iaitu antara lapan hingga 10 gelas sehari. Anda akan dapat lihat perubahan positif secara perlahan-lahan.

Badan kehilangan air melalui:

1. Pernafasan (satu gelas air - 14 peratus)
2. Air kencing (5 1/2 gelas air atau 50 peratus)
3. Peluh ( dua gelas air - 34 peratus)
4. Najis (1/2 gelas air - dua peratus)

Kekurangan air menyebabkan bahan buangan yang perlu dikeluarkan dari badan terkumpul dan lama-kelamaan boleh mengakibatkan masalah kesihatan, contohnya pembentukan batu karang.

Kehilangan hanya dua peratus air boleh menyebabkan otak kurang cerdas, ingatan jangka pendek menjadi kabur, sukar mengira dan menumpukan perhatian ketika membaca.

Jadi usah risau jika anda perlu selalu ke tandas kerana ia antara cara meningkatkan kepekaan fikiran, khususnya bagi individu yang banyak duduk ketika bekerja.










http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/Prosesmetabolismeterjejas/Article/article_print









0 comments:

Post a Comment

Untuk Makluman Anda

Rawatan Homeopathy hanyalah sekadar ikhtiar, sebagai rawatan alternatif dan tidak bermaksud untuk menggantikan kaedah perubatan allopati. Harap Maklum.

Produk yang disediakan juga adalah sebagai membantu kesihatan sahaja.

Related Posts with Thumbnails